Ada desas-desus yang mengatakan pada hari Isnin, 10 Oktober nanti, Parlimen akan dibubarkan dan pilihanraya akan diumumkan.
Langkah itu mengekori pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Najib Razak, perancangan perbelanjaan yang dikatakan ramai dicipta untuk menarik kembali undi kepada BN. Dan sudah pasti, untuk mengesahkan mandat rakyat ke atas dirinya untuk meneruskan jawatannya sebagai Perdana Menteri keenam itu.
Secara jujurnya, permainan teka-teki waktu pilihanraya umum ke-13 ini sudah menjadi hangat semenjak permulaan tahun ini lagi. Ramai yang meneka Mac, Julai, November dan juga Mac 2012. Tetapi walaupun tekaan yang tepat itu mungkin pada Mac tahun depan, masih ada kemungkinan besar yang Najib akan mengorak langkahnya itu pada bulan depan.
Jika begitu, maka beliau 'haruslah' membubarkan Parlimen pada hari Isnin. Sudah tentu beliau boleh lakukannya selepas pembentangan belanjawan petang ini, ataupun pada hujung minggu, tetapi ramai ahli-ahli politik berkata ia akan berlaku pada hari Isnin, sekiranya PRU-13 jatuh pada November.
