Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Saturday 12 November 2011

Kg Baru: Sekretariat cabar Raja Nong Chik bukti Datuk Bandar YDP MAS



Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengemukakan bukti bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah Yang Dipertua Lembaga Pentadbir Pertanian Penempatan (MAS) Kampung Baru.
Pengerusinya Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya mengharapkan Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dapat membuktikan  sama ada terdapat surat atau dokumen berkaitan yang mengesahkan Datuk Bandar sebagai ketua MAS.
“Saya cabar Raja Nong Chik (gambar) untuk buktikan kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan Datuk Bandar adalah Yang Dipertua MAS dan jika benar, kemukakan bukti dokumen berkenaan dan nyatakan mesyuarat jawatankuasa MAS yang pernah dihadiri beliau (datuk bandar),” katanya.

Menurut Zamri, pihaknya sendiri pernah bertanyakan perkara itu kepada Datuk Bandar dan beliau sendiri telah menafikannya.
“Saya pernah berjumpa Datuk Bandar berkenaan perkara ini, dan beliau sendiri menafikannya, malah memberitahu dia hanya bertindak sebagai ‘de facto’ dalam MAS, bukannya YDP,” katanya.
Mengulas berkenaan cabaran menteri berkenaan yang meminta pihaknya mengemukakan bukti lanjut berkaitan pentadbiran MAS di bawah negeri Selangor, Zamri meminta menteri berkenaan bersabar kerana pihaknya sedang menunggu masa yang sesuai untuk membuat pendedahan.
“SPKB akan keluarkan bukti lain bila tiba masanya yang sesuai, bukti-bukti tersebut merupakan fakta dan peruntukan undang-undang yang sangat jelas dan tidak boleh dinafikan lagi,” katanya.
Ujarnya, tanggungjawab utama pihaknya adalah untuk memberikan penerangan lebih lanjut kepada penduduk Kampung Baru dan bukannya kepada Raja Nong Chik.
“Keutamaan SPKB adalah untuk menjelaskan perkara sebenar kepada penduduk Kampung Baru, bukannya kepada menteri yang gelojoh menafikan hak dan suara penduduk dengan membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru 2011 di Dewan Rakyat,” tegasnya.
Raja Nong Chik kelmarin mencabar sekretariat agar mengemukakan bukti yang mendakwa MAS terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.
Menteri berkenaan berkata, MAS dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan oleh itu secara langsung berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“... macam mana dia kata Selangor ada kuasa? Sedangkan ia adalah bidang tugas kerajaan pusat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Dari segi kuasa merombak keanggotaan lembaga itu juga terletak di bawah kerajaan persekutuan,” katanya.
Raja Nong Chik juga menyifatkan isu itu sengaja ditimbulkan bagi tujuan politik.
Dalam laporan The Malaysian Insider empat hari lalu, SPKB menolak kenyataan Raja Nong Chik Sabtu lalu menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa ke atas MAS Kampung Baru.
Ahmad Zambri berkata, Kampung Baru secara fizikalnya terletak di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Namun begitu, katanya, peruntukan dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 menyatakan MAS tertakluk kepada bidang kuasa negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com