"Ayah tidak sejahat yang disangka".
Itu reaksi anak sulung kepada seorang bapa berusia 46 tahun yang direman polis bagi membantu siasatan kes mendera dan mengurung seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Jalan Perak di sini kelmarin.
Gadis berusia 20-an yang enggan dikenali itu berkata, tindakan ayah mereka memukul adik bongsunya merupakan perkara biasa bertujuan memberi pengajaran atas kenakalannya.
"Sebenarnya, adik saya tidak ditinggalkan bersendirian selama 10 jam seperti dilaporkan dan keadaan itu bukan selalu berlaku.
"Biasanya, saya yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di sini akan pulang pada waktu rehat untuk menjenguk adik kerana ibu bekerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Perak lebih 10 jam selepas mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad.
Mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat pada kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin selepas dihubungi jirannya.
Gadis berkenaan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menjelaskan, pada hari kejadian dia tidak dapat pulang seperti biasa kerana cuti umum dan restoran tempat kerjanya dipenuhi ramai pelanggan.
"Saya ingin jelaskan bahawa kesan lebam yang terdapat pada badan adik bukanlah kecederaan lama akibat penderaan sebelum ini tetapi dia pernah terjatuh ketika bermain," katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Pulau Pinang mendapati kanak-kanak berkenaan semakin sihat dan lebih ceria berbanding semalam.
Dengan berpakaian baju merah dan berseluar hijau, dia yang ditemani ibunya dilihat bermain- main di sekitar katilnya.
No comments:
Post a Comment