KUALA LUMPUR, 8 Nov — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menasihatkan keluarga Muslim, yang berhadapan masalah meletakkan nama keluarga bagi anak luar nikah atau bayi yang lahir dalam tempoh enam bulan selepas perkahwinan satu-satu pasangan, agar mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mahkamah jika enggan menerima pengakuan si lelaki bahawa dia adalah bapa yang sah.
Menurut Juanda, keengganan JPN menerima pengakuan seseorang bapa sebenarnya memalukan mereka dan ia amat jelas bertentangan dengan Islam lebih-lebih lagi jika sudah ada fatwa negeri sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri Perlis.
“Sudah cukuplah kontradik hukum hakam ini mencelarukan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan yang diemelkan dari Mekah.


