KUALA LUMPUR - Malaysia jatuh satu anak tangga ke kedudukan ke-78 bagi kebebasan ekonomi dalam Laporan Tahunan 2011: Kebebasan Ekonomi Dunia, sejajar dengan penurunan seluruh dunia dan disebabkan terutamanya saiz kerajaan.
Laporan oleh Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu dilancarkan di sini, Rabu, di Persidangan Asia Kebebasan Ekonomi 2011.
"Tahun lepas, kita berada di kedudukan ke-77 tetapi tahun ini kita jatuh satu tangga kepada 78. Sebenarnya, kedudukan Malaysia telah turun sejak beberapa tahun dan ini satu aliran yang membimbangkan," kata Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata negara memperoleh skor sifar di bawah kategori kecil "Pelaburan dan Perusahaan Kerajaan".
Ini, katanya, menunjukkan tahap pembabitan kerajaan dalam ekonomi menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sangat membimbangkan.
"Sejak 1995, saiz kerajaan semakin meningkat," katanya.
Laporan tahunan itu dikeluarkan oleh Fraser Institute, kumpulan pemikir dasar awam utama Kanada secara kerjasama dengan institut bebas di 85 negara dan wilayah.
Rakan kongsi di Malaysia ialah IDEAS.
Dari 2006 hingga 2011, Malaysia berada di kedudukan ke-53, ke-60, ke-72, ke- 66, ke-77 dan ke-78. (42 indeks berbeza itu, mengukur kebebasan ekonomi dari skala 0 hingga 10, dengan 0 paling rendah dan 10 terbaik).
Sementara itu, dari 2006-2011, Singapura mengekalkan kedudukan kedua, manakala Indonesia berada di kedudukan ke-8, ke-86, ke-101, ke-93, ke-90 dan ke-84, Thailand berada di kedudukan ke-60, ke-60, ke-56, ke-59, ke-58 dan ke-65 manakala Vietnam pada kedudukan ke-88, ke-97, ke-108, ke-101, ke-105 dan ke-88.
Wan Saiful berkata Malaysia mencatatkan prestasi baik dalam bahagian "Peraturan Kredit, Buruh dan Perniagaan" dan ia bertambah baik dalam bidang ini sejak 1980.
"Ia suatu yang baik yang kerajaan menyedari keperluan untuk merasionalkan pembabitannya dalam ekonomi, dan terdapat rancangan untuk melupuskan pegangannya dalam pelbagai GLC serta meliberalisasikan sektor yang berbeza.
"Ini mustahak dan ia perlu diperbaharui," katanya.
Kaji selidik yang dijalankan bagi Indeks itu menunjukan hubungan jelas antara kebebasan ekonomi, kemakmuran dan pendapatan nasional kasar (GNI).
No comments:
Post a Comment