Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Wednesday, 19 October 2011

Nasib Rakyat Malaysia Di Penjara Luar Negara



Walaupun lebih ramai wanita dijadikan mangsa namun lelaki turut tidak terkecuali diperalat oleh sindiket sehingga mereka ditahan oleh pihak berkuasa di luar negara. 


JANJI tawaran pekerjaan sebagai operator pelancongan bergaji lumayan menyebabkan seorang gadis berusia 19 tahun nekad ke Afrika Selatan pada Ogos tahun lalu.
Gadis berkenaan, Nur Dhiya Ain Rosman dipercayai mengikut kenalannya seorang warga Afrika bagi merebut peluang itu.
Bagaimanapun dia ditahan oleh pihak berkuasa negara itu di Lapangan Terbang Cape Town apabila didapati membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu.
Dia yang dipanggil ‘baby’ ditahan di Pusat Tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Belleville masing-masing di Cape Town, Afrika Selatan.
Bagaimanapun kira-kira dua bulan selepas ditahan, Nur Dhiya mempunyai peluang untuk dibebaskan apabila kesnya cuba diketengahkan olehBiro Aduan Komuniti Pemuda Umno dengan kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Afrika Selatan.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara merupakan mangsa penipuan atau penganiayaan meskipun ia sekadar kes terpencil iaitu kira-kira 10 peratus.
Peguam yang dilantik oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO diterbangkan ke Cape Town pada Oktober 2010 bagi membantu mendapatkan keterangan dan pembelaan Nur Dhiya.
Difahamkan, Nur Dhiya menjadi mangsa penipuan oleh satu sindiket antarabangsa yang beroperasi di Nigeria dan keterangannya turut membantu siasatan.
Berdasarkan kekurangan bukti dan fakta kes, Nur Dhiya dibebaskan pada 9 Mac tahun ini dan selamat pulang ke Kuala Lumpur pada 13 Mac.
Nur Dhiya bagaimanapun bukan rakyat Malaysia pertama yang ditahan di luar negara dan bantuan tersebut tidak hanya untuk membela nasib gadis itu semata-mata.
Ia juga dijadikan sebagai pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat berhubung rakyat kita dijadikan mangsa terlibat dengan jenayah sehingga ditahan di luar negara.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, hampir 2,000 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara di 59 negara dari tahun 1991 sehingga kini.
“Seramai 1,941 rakyat Malaysia ditahan ditahan di luar negara dan menjadi kebimbangan apabila bilangan mereka semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Lebih membimbangkan apabila antaranya merupakan mangsa penipuan atau penganiayaan meskipun ia sekadar kes terpencil iaitu kira-kira 10 peratus.
“Sukar untuk mengenal pasti sama ada mereka adalah mangsa atau tidak kerana kebanyakannya tidak mengaku bersalah namun berdasarkan siasatan mendapati mereka diperalat oleh sindiket,” katanya kepada Mingguan mStar di Wisma Putra, Putrajaya, baru-baru ini.
Masalah global
Daripada 1,941 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara, majoritinya terlibat dalam kes dadah seramai 889 orang diikuti oleh pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang.
Antara kesalahan lain bagi hukuman penjara itu berkaitan dengan imigresen, jenayah komersial, curi, penipuan, pemerdagangan manusia, bunuh dan pemalsuan dokumen.
Sebahagian besar mereka ditahan di penjara di Singapura iaitu seramai 596 orang, Thailand (373), China (203), Taiwan (137) dan Indonesia (137).
Kohilan berkata, ia bukan sekadar tertumpu di negara-negara Asia malah negara-negara Barat seperti Sepanyol, Perancis, Amerika Syarikat, Itali, Brazil dan Peru.
“Alat komunikasi dan sistem pengangkutan hari ini semakin maju berbanding dahulu menyebabkan jenayah merentasi sempadan mudah dilakukan.
“Sindiket juga semakin bijak menggunakan pelbagai taktik bagi memperalat segelintir pihak untuk memudahkan operasi mereka,” katanya.
Sasaran utama untuk dijadikan sebagai mangsa adalah wanita, mereka yang tiada rekod jenayah, terdesak untuk mendapatkan wang atau mudah terpengaruh terhadap sesuatu tawaran.
Malah berdasarkan kes terdahulu, terdapat rakyat tempatan yang mempunyai masalah gangguan mental turut menjadi mangsa.
Walaupun isu rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit dengan jenayah sering dibangkitkan namun ia tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut Kohilan, jenayah sentiasa berlaku di mana-mana negara sama ada dilakukan oleh rakyat tempatan atau rakyat asing menjadikannya sebagai satu masalah global.
“Perkara yang seharusnya diberikan perhatian apabila sindiket-sindiket ini sering mensasarkan masyarakat di Asia terutama Malaysia untuk diperalat sebagai mangsa,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, amat sukar untuk menentukan sama ada mereka melakukan jenayah dengan sengaja atau mangsa kerana semua akan mendakwa dirinya dianiaya.
“Jika ia adalah kejadian pertama dan perkara yang dilakukan itu tidak sedarinya atau barang yang dibawa bukan miliknya maka boleh dikatakan sebagai mangsa.
“Tetapi kalau seseorang itu sudah merancang melakukan perkara itu dan ia bukan kali pertama malah sering berulang alik ke negara itu kemungkinan dia bukan mangsa.
“Saya sendiri berpengalaman berjumpa dengan beberapa rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara namun masing-masing memberikan alasan berbeza.
“Mereka kata kerana jatuh cinta, membantu membawa kepunyaan rakannya, menerima tawaran pekerjaan dan pakej percutian,” katanya yang pernah menemui empat rakyat Malaysia ketika itu menjalani hukuman luar penjara di Peru semasa lawatan dua hari ke negara itu pada Ogos 2009.
Hak pembelaan
Kohilan berkata, Wisma Putra atau Kementerian Luar Negeri berperanan melaksanakan khidmat konsular dan tidak boleh bersikap campur tangan dalam soal undang-undang negara lain.
“Kita tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan mereka seperti yang dianggap oleh segelintir pihak. Segala siasatan dan keputusan tertakluk kepada perundangan negara itu.
“Bagaimanapun kita bersedia memberi khidmat nasihat dan rundingan dalam membantu rakyat kita dalam mendapatkan hak pembelaan,” katanya.
Semua yang ditahan akan disabitkan kesalahan dan menerima hukuman. Selepas itu keluarga mereka akan membuat rayuan kepada pihak berkuasa negara itu agar hukuman dikurangkan.
Menurut Kohilan, walaupun berdasarkan kes-kes sebelum ini mendapati lebih ramai wanita dijadikan mangsa namun lelaki turut diperalat oleh sindiket.
Bagi kebanyakan lelaki, mereka lebih kepada terdesak untuk mendapatkan pekerjaan atau terpengaruh dengan upah lumayan.
Ada juga yang terdesak selepas tidak mampu untuk membayar balik pinjaman dan dipaksa oleh peminjam supaya melakukan sesuatu sebagai penebusan bayaran.
“Sehubungan itu, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh sindiket untuk menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa tanpa tertumpu kepada wanita dan dadah semata-mata.
“Selagi ada ruang dan peluang, apa saja taktik akan digunakan. Selagi kita tidak mengambil sikap berhati-hati maka sesiapa juga berpotensi untuk dijadikan mangsa,” katanya.
Kohilan berkata, seperti Kementerian Dalam Negeri, Wisma Putra turut memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perilaku jenayah sama ada melibatkan unsur dalaman atau luar.
“Dalam konteks rakyat Malaysia dijadikan mangsa di luar negara, golongan muda sering menjadi sasaran sindiket maka ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka.
“Ini terutama apabila mereka mendapati sesuatu yang mencurigakan atau mustahil berhubung sebab atau tawaran yang memerlukan seseorang itu perlu ke luar negara.
“Tiada beza melakukan jenayah di dalam atau luar negara tetapi jika ia disebabkan oleh penganiayaan, semua pihak harus memainkan peranan penting untuk mengatasinya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com