Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Saturday 19 November 2011

MCLM: Najib perlu bebas 13 jika hargai ‘janji 15 Sept’




Tindakan polis menahan 13 individu, dipercayai ahli atau penyokong PAS, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan kegiatan gerakan militan di Sabah menjadi tanda tanya kredibiliti janji pentadbiran Najib dua bulan lalu bahawa mahu membawa transformasi politik.
Sehubungan itu, Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan segera mengarahkan pembebasan kesemua 13 individu berkenaan selaras dengan janji 15 September — mahu membawa transformasi politik dengan memansuhkan akta-akta preventif dan tidak akan menggunakannya dengan sewenang-wenangnya.

Presiden MCLM Haris Ibrahim berkata, polis sewajarnya membebaskan mereka dengan segera selaras dengan pendirian mendukung janji-janji Najib September lalu.
“Tindakan penahanan ini berlaku tidak sampai dua bulan selepas pengumuman yang mempersoalkan kredibilti janji beliau (Najib),” kata Haris dalam satu kenyataan.
Haris menambah, jika Najib benar-benar jujur dengan janji dalam memastikan sebuah demokrasi yang moden, matang dan yang berfungsi, maka beliau sewajarnya dengan segera telah meminta pembebasan kesemua 13 tahanan berkenaan.
Mereka ditahan awal minggu ini.
“MCLM sangat marah kerana mereka ditahan oleh pasukan polis yang bersenjata, yang menahan suspek di depan isteri dan anak-anak mereka.
“MCLM prihatin dengan impak emosional dan mental ekoran penahanan keras oleh polis yang bersenjata,” katanya lagi, sambil menambah mereka ditahan tanpa waran tangkap, notis atau sebarang maklumat awal.
Harris juga berkata pihkanya juga dimaklumkan kesemua yang ditahan merupakan ahli atau penyokong PAS termasuk guru-guru agama yang dihormati di Tawau, Sabah.
“Adakah pihak polis menjalankan tindakan pemprofilan agama dengan mengadakan penahanan sedemikian?
“MCLM menuntut pembebasan segera mereka yang ditahan tanpa syarat ataupun (jika perlu) dakwa di mahkamah,” katanya.
Terdahulu Suhakam juga meluahkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan tindakan Putrajaya menangkap 13 individu di bawah ISA ketika ia sedang dalam proses memansuhkan undang-undang tersebut.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan terbaru ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Najib yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara — yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata penahanan itu dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.
Kelmarin, Ismail mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.
Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.
September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.
Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan.


No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com