Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Friday 18 November 2011

NFC: SPRM serah aduan PKR ke Jenayah Komersial, bukannya IGP



Pengerusi NFC menyifatkan pembelian dua unit kondo mewah oleh NMLC sebagai
keputusan melindungi dana yang berlebihan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah merujuk aduan PKR berkaitan dengan pembelian kondominium menggunakan dana Pusat Fidlot Kebangsaan, projek yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada kepada polis kelmarin.
Bagaimanapun menurut jurucakap SPRM, aduan tersebut dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial susulan kenyataan dikeluarkan oleh pihaknya Isnin lalu.
“SPRM mengesahkan laporan berkaitan dengan NFC telah dihantar kepada Pengarah Jenayah Komersial pada 16 November 2011,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Katanya, laporan itu dirujuk kepada polis untuk tindakan susulan atas nasihat Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM bahawa kes berkenaan seharusnya disiasat di bawah Kanun Keseksaan, yang mana terletak di bawah bidang kuasa polis.
“Laporan itu tidak harus disiasat oleh SPRM di bawah Akta SPRM 2009 sebagaimana dinasihati. Laporan itu dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan bukannya Ketua Polis Negara,” kata jurucakap itu.
Jurucakap itu mengulas laporan semalam memetik Ketua Polis Negara bahawa belum menerima sebarang laporan daripada SPRM berkaitan isu projek NFC, yang dikaitkan dengan keluarga Shahrizat, Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet.
“Setakat ini, saya belum menerima apa-apa lagi,” kata beliau yang awalnya dikatakan kelihatan terkejut apabila diminta mengulas isu itu sambil memberitahu perkara berkenaan merupakan kes SPRM.
Bagaimanapun apabila dikatakan bahawa SPRM sudah memindahkan isu berkenaan kepada polis, Ismail berkata beliau perlu meneliti perkara tersebut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Isnin lalu, SPRM berkata agensi itu tidak boleh menyiasat kes pembelian kondominium menggunakan dana projek NFC, sebaliknya menyerahkan polis.
Katanya aduan berkaitan hanya boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata setelah diteliti aduan diterima minggu lalu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan telah mengaklasifikasikan perkara tersebut di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa suruhanjaya sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Minggu lalu, PKR mendakwa NFC telah membayar hampir RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC).
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata apartmen mewah di One Menerung, Bangsar itu direkodkan oleh NFC, projek ternakan lembu yang dikurniakan kepada keluarga Shahrizat, sebahagian daripada “pinjaman” RM83 juta disalurkan kepada NMLC.
“Mereka kata akaun pinjaman RM250 juta bagi projek ini diteliti dengan ketat. Adakah kondominium ini bagi lembu untuk tinggal,” katanya.
Saifuddin berkata sebanyak RM9,758,140 telah dipindahkan dari akaun NFC di CIMB cawangan di Taman Tun Dr Ismail di sini kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.
Pada hari yang sama, anggota  Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa juga membuat laporan mengenai pendedahan salah laku pecah amanah di NFC, di pejabat SPRM Shah Alam.
Dalam taklimat kepada beberapa media, Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata NFC telah mereka strategi kewangannya sendiri yang termasuklah strategi pelaburan di bidang harta yang ia jangka dapat memberi pulangan tinggi dan stabil kepada syarikat.
Menjawab dakwaan PKR itu, katanya, pembelian dua unit kondominium One Menerung berharga RM6.9 juta tiap satu itu adalah satu keputusan komersial melindungi dana yang tidak digunakann untuk projek rumah sembelihan yang tergendala bukan kerana kesilapan NFC.
“Kami boleh memasukkannya ke dalam simpanan tetap namun menghadapi kerugian nilai kerana inflasi kami tinggi. Sementara menunggu projek itu dimulakan kami perlu mencari tempat meletakkan wang bagi satu tempoh supaya tidak mengalami kerosotan dan mendapat keuntungan hampir setiap tahun,” katanya.
Salleh, suami kepada Shahrizat berkata, yang terbaik sekali ialah membiarkan dana sebagai simpanan tetap yang akan kurang kontroversi tetapi tidak akan memberikan hasil yang dikehendaki syarikat daripada dana yang bersaiz sedemikian.


No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com