- akan mengejar segala 'janji manis'
KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri dan pemimpin Barisan Nasional boleh gembira dalam sehari dua, sebaliknya semakin banyak persoalan yang perlu dijawab menjelang seminggu selepas bajet 2012 dibentang,
Menurut Ketua Dewan Muslimat Pas Terengganu, Cikgu Safinah Jusoh, rakyat sebenarnya sudah bijak menilai dan mampu melihat apa sahaja yang ditawarkan kerajaan sama ada memberi keuntungan atau sebaliknya.
“Mungkin tahun depan orang akan tahu implikasi sebenar bajet, iaitu siapa yang benar-benar dapat atau tidak. Kalau keadaan ini berlaku (tidak menguntungkan rakyat) ia akan menjejaskan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran laman blog Muslimat di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Ibai, pada Sabtu 8 Oktober
[Gambar - ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Omar melancarkan blog Dewan Muslimat PAS Terengganu]
Beliau (berjubah hijau muda) berkata peningkatan kenaikan gaji tahunan kakitangan awam, tidak akan memberi kesan yang besar kerana rakyat sedang berhadapan dengan krisis kenaikan harga barang yang berterusan.
Menurutnya, apabila gaji naik, harga barang sudah tentu mengalami kenaikan dan rakyat akan tetap berhadapan keadaan yang sama sebelum kenaikan gaji.
Oleh itu, tidak ada bezanya, walaupun bajet dilihat mengurangkan beban, namun hanyalah untuk sementara waktu.
“Hanya cara itu (menaikkan gaji) yang akan menentukan cara untuk bersaing dengan harga barang yang sedang naik. (Kenaikan gaji) tiada bermakna apa-apa juga kerana tiada jaminan harga barang akan turun, minyak juga akan terus naik,” katanya.
Sehubungan itu, Safinah yang juga bekas anggota Dewan Negara (Senator) turut menyifatkan kerajaan tidak lantang dalam membela rakyat miskin apabila tidak menyebut secara jelas mengenai sebarang bantuan khusus untuk meringankan beban golongan tersebut, selain ibu tunggal dan anak-anak yatim.
“Begitu juga dengan mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana, tidak dinyatakan bantuan kepada mereka secara mendalam sedangkan mereka boleh memacu ekonomi negara,” katanya
Beliau berkata, sekalipun kerajaan menyalurkan bantuan kepada agensi-agensi tertentu seperti Tekun untuk memastikan golongan tersebut dibantu, namun dari segi teknikalnya, keadaan mungkin berbeza.
Jelasnya, dari segi prosedur, ada di kalangan yang benar-benar layak menerimanya gagal kerana tidak menepati syarat ditetapkan.
“Walaupun kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada agensi-agensi tertentu tetapi bantuan itu tidak disalurkan terus kepada pengguna berkaitan dan dari segi teknikalnya, ia terikat dengan prosedur dan mungkin tidak membantu golongan tersebut mendapatkan bantuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment