Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Monday, 3 October 2011

MCA lalui zaman gelap




Krisis kepimpinan MCA yang berpanjangan menjadikan parti politik tertua serta terbesar dan paling berpengaruh di kalangan orang Cina itu semakin terpinggir dan kini menuju ke penghujung jalan.

PETALING JAYA: Peranan kaum Cina kepada pembangunan dan kestabilan politik negara sangat besar dan sesiapa pun tidak boleh menafikannya.
Sejak sekian lama, sejak sebelum merdeka lagi, MCA menjadi tunjang kepada pergerakan dan penyatuan masyarakat Cina dalam pembangunan negara bersama Umno dan MIC.

MCA dan komponen Barisan Nasional (BN) atau lebih awal yang dipanggil Perikatan sama-sama menuntut kemerdekaan daripada penjajah British dan kemudiannya memakmurkan negara seperti yang ada hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur semalam dengan tegas memperakui bahawa MCA merupakan komponen penting kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) ini.
“Apa makna kepada BN jika MCA berpecah belah,” kata pengerusi BN yang membawa maksud bahawa MCA mesti sentiasa bersatu padu dan kuat sepanjang masa.
Peringatan Presiden Umno itu berkait rapat dengan kekalahan besar MCA dalam PRU 2008; ia kekalahan terbesar MCA dalam sejarah politik negara.
PRU 13 yang dijangka tahun depan akan menjadi penentu kepada MCA, seperti kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Masa depan parti itu ditentukan oleh ahli parti sendiri.
Saat sukar
Tetapi MCA hari ini bukan lagi seperti MCA 10 atau 20 tahun lalu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan MCA sedang menghadapi saat-saat sukar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi Cina.
Ugutan jika MCA kalah teruk dalam PRU 13 bahawa parti tidak akan menerima jawatan menteri kabinet menggambarkan bahawa parti itu sangat terdesak untuk memenangi semula kerusinya.
Umum mengetahui bahawa MCA dicabar hebat DAP sejak sekian lama. Keputusan PRU 2008 menunjukkan MCA sudah hampir tidak relevan lagi kepada orang Cina.
Walaupun sudah tiga tahun PRU 2008 berlalu belum nampak tanda-tanda MCA pulih sepenuhnya. Kepimpinan Dr Chua, bekas menteri kesihatan yang menewaskan Datuk Ong Tee Keat dalam pemilihan parti tahun lalu seperti masih tidak diendahkan oleh ahli parti itu sendiri.
Ketika beliau menyampaikan ucapan dasar presiden dalam bahasa Mandarin, banyak kerusi yang kosong di barisan depan dan belakang di Wisma MCA di ibu negara itu.
Beberapa perwakilan yang ditemui memberitahu, orang Cina tidak percaya lagi kepada MCA kerana terlalu mengikut BN yang dikawal Umno.
Zaman gelap
“Kredibiliti Dr Chua sebagai presiden penuh tanda tanya. Adakah beliau boleh menjadi lebih baik dari Tan Sri Ong Ka Ting atau pun Tun Dr Ling Liong Sik.
“MCA menghadapi zaman gelap di bawahnya,” kata Kuan Wei Hong dari Pulau Pinang. Sudah tentu MCA menjadi tidak relevan jika orang Cina terus menolaknya. Malang sekali ditolak kerana kesilapan sendiri.
Krisis kepimpinan MCA yang berpanjangan menyebabkan parti ini lemah secara perlahan dan diam-diam. Umum mengetahui MCA tidak pernah sunyi dari krisis kepimpinan namun semuanya berjaya diselesaikan menjadikan parti itu kekal relevan.
Sudah tiba masanya untuk  MCA kembali ke pangkal jalan dengan menjadi parti nombor satu bagi orang Cina di negara ini. Sayang jika sumbangan dan pengorbanan selama ini dilupakan begitu sahaja.
Kini musuh MCA bukannya DAP walaupun parti serpihan PAP dari Singapura itu menang cemerlang dalam PRU 2008.
Musuh nombor satu MCA tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari krisis kepimpinan yang berpanjangan, yang telah memusnah kepercayaan dan menghakis keyakinan ahli kepada parti.
Dengan PRU 13 semakin hampir, MCA sudah tidak ada masa untuk terus berkocak dari dalam. Jika kalah lagi, MCA akan hilang dari peta politik negara.

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com