PETALING JAYA: Presiden Kelab Taat Suami (KTS) Hatijah Am menyifatkan laporan akhbar berhubung penerbitan buku ‘Seks Suci Islam’ (SSI) hanyalah salah faham sehingga menimbulkan interpretasi buruk daripada pelbagai pihak.
Hatijah yang juga dikenali sebagai Ummu Jah berkata pihaknya melahirkan rasa kecewa di atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan buku itu tanpa pengetahuan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
Maka pimpinan GISB dan KTS tampil membuat penjelasan kepada pihak media dan menegaskan bahawa pengedaran buku itu hanya untuk ahli sahaja.
Ummu Jah berkata salah faham itu timbul apabila laporan mengenai perhubungan seks antara suami dengan empat isteri dilakukan secara serentak dan kaitannya dengan roh yang disuburkan melalui perlakuan tersebut.
“Salah faham ini timbul bila menyentuh hal seks secara serentak. Ia bukan seperti yang dilaporkan di akhbar di mana si suami melakukan hubungan seks secara serentak dengan empat isteri. Dalam pelacuran ya…. boleh tempah dua tiga perempuan sekali, dalam Islam tidak boleh. Itu bukan sunah Nabi.
“Itu penipuan dan salah faham. Yang dimaksudkan bila manusia sudah mampu sampai hati dan perasaan roh itu disuburkan. Roh ini terjadi di kalangan orang-orang Tuhan yang sangat mendalami perkara ini. Sebagai contoh anugerah Tuhan, ketika para sahabat Nabi berperang di tempat yang jauh, Allah izinkan mereka untuk dapat melakukan seks dengan isteri-isterinya.
“Namun saya rasa tidak perlu bercakap tentang hal roh ini kerana ia terlalu asing untuk masyarakat kita. Jika saya cakap ia akan menambahkan pening kepala walaupun ia banyak dihuraikan dalam Quran dan Hadis dan di sepanjang zaman hal seks ini luas diperkatakan.
“Seks ini menghiburkan dan ianya perlu terbuka antara suami isteri,” kata Ummu Jah melalui telesidang (teleconference) secara langsung dari Mekah.
‘Saya kongsi pengalaman’
Ummu Jah juga merupakan isteri kepada pengasas kumpulan Al-Arqam, Ashaari Mohammad atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’.
Menyentuh mengenai kontroversi buku itu, beliau berkata penulisan buku itu berdasarkan pengalamannya hidupnya sebagai isteri yang telah mencapai tahap ‘roh’ iaitu tahap tertinggi yang dialami oleh seseorang apabila sentiasa berdampingan dengan Tuhan.
Beliau turut meluahkan hasrat untuk menerbitkan buku kedua dan 100 peratus kandungannya menceritakan perihal hubungan seks suami isteri.
“Saya alami kesan hidup yang dikongsikan bersama dalam buku ini. Buku ’Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia’ ini hanya merangkumi 20 peratus tentang hubungan seks.
“Buku kedua yang akan diterbitkan kelak, 100 peratus akan menceritakan tentang seks namun kami tidak akan dedahkan kepada umum dan media kerana ia hanya untuk ahli kami sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan buku tersebut adalah hasil kajian daripada kitab, hadis dan Quran serta pengalaman ahli-ahlinya dalam hubungan suami isteri.
Setiap anggota media yang hadir dalam sidang media pagi tadi turut diberikan senaskah buku tersebut.
Menurut Ummu Jah, hampir semua keluaran buku Al-Arqam sejak awal dulu telah diharamkan dan beliau redha sekiranya perkara sama berlaku dengan penerbitan buku kontroversi itu.
“Hampir semua buku keluaran Al-Arqam memang diharamkan. Sekarang semua dah baca dah dapat buku itu…oklah tu. Saya merasa kepahitan dan kita diperbodoh dan dipersalahkan sedangkan Tuhan hadiahkan hasil yang kita alami ini.
“Saya redha….saya suka Allah buat macam ini,” katanya ketika ditanya mengenai kesediaannya jika Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan siasatan dan mengharamkan penerbitan buku tersebut.
Antara yang hadir dalam sidang media itu adalah Pengarah GISB, Lokman Hakim Abdul Rahim serta barisan Ahli Jawatankuasa KTS Fauziah Ariffin, Dr Azlina Jamaluddin dan Hajiera Adlaey.
Menurut Fauziah, setakat ini kelab tersebut disertai oleh 3,500 wanita dari 14 buah negara, antaranya Jordan, Thailand, Indonesia, Perancis dan Singapura manakala di Malaysia terdapat 2,000 wanita yang menyertai kelab itu.
Buku tersebut diterbitkan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu dan dilancarkan awal bulan ini di Pasir Puteh, Kelantan.
No comments:
Post a Comment