Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Saturday, 22 October 2011

Detik-detik terakhir Gaddafi




SIRTE - Imej ngeri menunjukkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berlumuran darah dan ketakutan semasa diheret oleh pemberontak tersebar dengan cepat di seluruh dunia selepas kematian dramatik pemimpin itu di bandar kelahirannya di Sirte, kelmarin.

Walaupun cerita tepat mengenai kematian Gaddafi masih kabur dengan pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan pemberontak dan kerajaan baru Libya, rakaman detik-detik terakhir hidup Gaddafi yang penuh kekecohan memberi sedikit petunjuk mengenai apa yang berlaku.

Berdasarkan rakaman itu, Gaddafi masih hidup semasa ditangkap sedang bersembunyi di dalam terowong air di Sirte. Video dirakam seorang pemberontak itu menunjukkan Gaddafi seperti dalam keadaan keliru dan tercedera semasa rambutnya ditarik dan diheret turun dari bonet sebuah kenderaan.
“Pastikan dia hidup, pastikan dia hidup!” adalah antara jeritan yang dapat didengar di dalam rakaman itu sebelum Gaddafi hilang dari pandangan kamera dan bunyi tembakan kedengaran.

“Mereka menangkapnya hidup-hidup dan semasa dia dibawa pergi, mereka memukul dan membunuh Gaddafi. Mungkin dia melawan,” menurut seorang pemberontak.

Bercanggah dengan rakaman ditunjukkan, kerajaan baru Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengeluarkan kenyataan ramsi bahawa Gaddafi terbunuh semasa tembak-menembak berlaku antara penyokongnya dan pemberontak selepas beliau ditangkap.

Menurut siasatan forensik yang dibacakan pemimpin NTC, Gaddafi maut terkena tembakan di kepala. Namun kerajaan sementara Libya itu menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan supaya Gaddafi dibunuh.

Hari terakhir Gaddafi bermula sebelum Subuh apabila dia dengan ditemani pengawal peribadi berjaya melepaskan diri daripada kepungan pemberontak di Sirte dan bergerak menuju ke barat. Mereka tidak sempat pergi jauh.

Ini kerana konvoi itu diserang jet pejuang Perancis berhampiran Sirte. Kesan serangan dapat dilihat lebih kurang tiga kilometer di barat Sirte, apabila wartawan menyaksikan 15 trak dipenuhi senjata api terbakar berhampiran stesen janakuasa elektrik kira-kira 20 meter dari jalan raya utama.

Menurut pemberontak, Gaddafi dan tenteranya kemudian meninggalkan kenderaan mereka dan berjalan kaki, dengan berlindung di belakang pokok sebelum bersembunyi di dalam dua terowong di saluran air bawah tanah.

Pemberontak yang memburu kemudian menjumpai terowong itu dengan seorang daripada pengawal Gaddafi menjerit memaklumkan ‘Tuan saya ada di sini’ dan meminta bantuan kerana Gaddafi cedera.

“Kami pergi ke arah longkang itu dan membawa Gaddafi keluar. Dia berkata ‘Apa masalahnya? Apa yang sedang berlaku?’ dan kami membawanya masuk ke dalam kereta. Semasa ditangkap, Gaddafi telah pun cedera ditembak di kaki dan belakang badan,” menurut seorang pemberontak, Bakeer.

Cerita Bakeer itu disahkan beberapa pemberontak lain yang bersama-sama menangkap Gaddafi tetapi ada pula yang mendakwa tentera Gaddafi sendiri menembak pemimpin itu di dada.

Pegawai NTC, Abdel Majid Mlegta pula berkata, Gaddafi cedera selepas pertempuran dengan pemberontak di Sirte dan meninggal dunia semasa di dalam ambulans kerana pendarahan di perut.

Seorang lagi pemberontak yang ditemui menunjukkan pistol emas berukir didakwa dirampas dari Gaddafi semasa penangkapan pemimpin itu.

Sehingga semalam, pengebumian Gaddafi ditangguhkan beberapa hari sehingga lokasi terakhir ditentukan.

“Saya mengarahkan mayat Gaddafi, yang kini berada di Misrata, disimpan di dalam peti sejuk untuk beberapa hari, untuk memastikan semua orang tahu Gaddafi telah meninggal dunia,” menurut Menteri Petroleum NTC, Ali Tarhouni semalam.

Walaupun pelbagai cerita mengenai pembunuhan Gaddafi tersebar, namun kenyataannya, pemimpin yang menjadi ikon negara Afrika itu telah pun meninggal dunia dan kematiannya membuka episod baru di dalam kehidupan rakyat Libya.

Kematian Gaddafi mungkin disambut dengan sorakan rakyat Libya, tetapi adakah mereka akan terus bersorak selepas ini apabila ekonomi negara mereka dicengkam kuasa Barat dan adakah mereka akan terus bersorak apabila kerajaan baru negara tidak dapat dibentuk akibat pergaduhan pelbagai puak berbeza di Libya?

Hanya masa akan menentukan.


No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com