Search This Blog

Translate this Blog

+grab this

Networkedblogs

Catatan Popular

Blog Archive

Tuesday 18 October 2011

Penganjur: ‘Himpun tiada kaitan Ezam, Zul Noordin dan Ibrahim Ali’






KUALA LUMPUR, 18 Okt — Penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan Sabtu ini dengan sasaran mahu menarik lebih 100,000 peserta menegaskan, gerakan itu tiada kaitan dengan elemen politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan termasuk kaum lain.
Pengerusi Bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perhimpunan itu juga tiada kaitan dengan beberapa ahli politik yang kontroversial termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin yang dilaporkan akan berucap pada majlis tersebut.
“Zulkifli Nordin, Senator Ezam Mohd Noor dan (Ahli Parlimen Pasir Mas) Datuk Ibrahim Ali tidak terlibat dalam kepimpinan Himpun. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan tokoh pada hari perhimpunan.

“Jika mereka mengeluar sebarang kenyataan berkait dengan perhimpunan , itu tidak mewakili Himpun,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mohd Azmi menambah, pihaknya tidak akan membenarkan sebarang tindakan mempolitikkan atau mempunyai niat terselindung.
“Saya tidak akan membenarkan inisiatif ini dicemari dengan niat terselindung oleh mana-mana pihak dan akan membuat pendirian tegas,” kata beliau.
Tegas beliau, perkara yang hendak difokus oleh Himpun adalah isu menyelamatkan aqidah Islam dan bukan isu politik untuk menyerang mana-mana pihak.
The Malaysian Insider dalam laporan awal hari ini memetik Sekretariat Himpun berkata pihaknya akan membincangkan khusus isu murtad akan mengadakan pertemuan dengan anggota Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama malam ini bagi menyampaikan matlamat perhimpunan mereka di samping mengelakan salah faham usaha pihaknya itu.
Setiausaha Sekretariat Himpun Aminuddin Yahaya ketika ditemui The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam yang menganggotai jawatankuasa itu bagi menyampaikan sendiri tujuan mereka mengadakan perhimpunan julung kali ini supaya tidak wujud salah faham.
“Perhimpunan ini khusus untuk membincangkan isu murtad dan menyatukan umat Islam membincangkan isu ini... jadi, kami akan menghantar wakil sekretariat untuk menjelaskan kepada anggota jawatankuasa mengapa usaha kami ini diadakan, beberapa pemimpin sekretariat juga berada dalam jawatankuasa antara agama ini,” kata beliau dalam satu pertemuan di sini semalam.
Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan oleh Kabinet Februari tahun lalu untuk mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara penganut berlainan agama.
Himpun dijangka akan mengeluarkan satu deklarasi menggesa kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi mencegah kes-kes murtad di kalangan Muslim.
Dalam satu kenyataan semalam, Islamic Renaissance Front (IRF) berkata tiada perangkaan tepat mengenai kes murtad dan bimbang Himpunan Sejuta Umat akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam.
Dalam satu kenyataan semalam juga, PAS Selangor tidak akan memberi sokongan kepada perhimpunan itu jika ia bertujuan melaga-lagakan Islam dengan penganut agama lain.
Mohd Azmi menjelaskan, isu yang akan disentuh adalah untuk menyelamatkan akidah Islam dan memberi penekanan untuk memupuk kefahaman dan kesatuan antara umat Islam.
Beliau menambah, pihaknya juga tidak akan membenarkan kumpulan tertentu atau golongan yang berkepentingan politik merampas agenda perhimpunan itu, mahupun melaga-laga antara kaum dan penganut agama lain.
Perhimpunan itu juga bertujuan mahu menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media, mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011, memberitahu rakyat perlunya persoalan akidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik, menserlahkan institusi raja yang menjadi payung kaum Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini, menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi dan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

No comments:

Post a Comment

ShareThis

Pelawat Sejak 30/09/11

Banner Exchange

Photobucket

e-referrer.com