BANTING – Seorang suspek kes rogol dan bunuh remaja wanita yang mayatnya ditanam dalam lubang bersimen di hadapan sebuah rumah, dibenarkan reman sehingga Rabu ini oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, semalam.
Majistret Hurman Hussain membenarkan permohonan polis bagi melanjutkan tempoh reman suspek yang berasal dari Sungai Jarum itu bagi membantu siasatan membabitkan seorang remaja perempuan, See Sheau Fang, 18.
Suspek yang kini berusia 37 tahun, disyaki merogol dan membunuh mangsa pada 26 Februari 2004 sebelum menanam mayat gadis malang itu ditanam di hadapan rumahnya di Taman Perwira, di sini, tujuh tahun lalu.
Suspek pernah ditahan reman ketika siasatan kes itu berlangsung, tetapi dia berjaya melarikan diri melalui siling tandas di Balai Polis Tanjung Sepat pada 13 Mac 2004.
Dia (suspek) yang hidup dalam pelarian selama lebih tujuh tahun ditahan semula minggu lalu berhubung siasatan kes melarikan kenderaan mewah.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Adnan Abdullah, pada Sabtu lalu mengesahkan siasatan awal kes kenderaan mewah itu mendapati, suspek terbabit dengan kes bunuh Sheau Fang.
Menurutnya, suspek sama dipercayai turut terbabit dengan satu kes peras ugut yang dilaporkan pada 1999.
Pada Januari 2008, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaharah Ibrahim membebaskan adik suspek, Kher Theng Heng, 35, daripada pertuduhan membunuh Sheau Fang.
Theng Heng bersama suspek yang ketika itu masih bebas, didakwa membunuh Sheau Fang di sebuah rumah Taman Perwira 44, Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat, antara jam 9.30 malam dan 5.30 pagi, 28 Februari 2004.
Gadis berkenaan dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Februari 2004 selepas keluar bersama seorang lelaki dan keluarga mangsa membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.
No comments:
Post a Comment