Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, apa yang penting sekarang untuk semua ialah memenangkan Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke 13 dan bukannya berbincang mengenai siapa menjadi Perdana Menteri.
Dalam satu posting di Facebook pagi ini, Abdul Hadi berkata soal menjadi Perdana Menteri ialah ketentuan Allah.
“Apa yang penting kita mesti menangkan dulu PR dalam pilihan raya ke 13, soal siapa menjadi PM tidak penting, yang penting negara kita selamat, segalanya ketentuan Allah,” kata beliau.
Dalam temubual bersama Malaysiakini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sekiranya memenangi pilihanraya ke 13 akan melantik seorang Perdana Menteri sementara.
“Kita sudah bincang perkara ini dengan kepimpinan Pakatan (jika beliau dipenjarakan). Adalah ia satu masalah? Tidak. Sekiranya kita menang, kita akan ada satu Perdana Menteri sementara. Sudah tentu, kerana saya yakin jika kita menang, saya tak akan berada di penjara untuk lama,” kata beliau.
Pada 9 Januari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat versi II selepas perbicaraan yang penuh kontroversi berlangsung tahun lepas.
Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan orang ramai yang sudah mempunyai tanggapan di minda untuk Januari 9 ini bahawa kesemua manusia akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat.
“Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman.
“Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu,” pesan Tuan Ibrahim.
No comments:
Post a Comment