Polis tahan suspek jumpa kesan darah mangsa dalam rumah, MPV
MUAR: Seorang pengurus bank dipercayai bukan saja memukul anak lelakinya berusia 20 tahun sehingga mati dan mencampakkan mayatnya ke parit di Parit Amat, Jalan Sri Tanjung, dekat sini, awal pagi Sabtu lalu, malah membuat pengecaman mayat apabila diminta polis berbuat demikian.
Lelaki berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah bank di bandar ini ditahan di rumahnya di Jalan Temenggong Ahmad, dekat sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin susulan daripada siasatan polis di rumahnya yang dikatakan turut menemui kesan darah mangsa selain dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).
Sebelum ini suspek dikatakan turut membuat pengecaman mayat anak lelaki sulungnya sebelum polis mengesyaki sesuatu apabila mendapati kereta milik suspek sama seperti kereta yang digambarkan dilihat di tempat penemuan mayat berkenaan pada awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu, sekumpulan kanak-kanak menemui mayat seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dengan kesan tetakan di leher, bahu dan tangan selain beberapa kesan lebam di badannya, di dalam parit di Parit Amal, Jalan Sri Tanjung, dekat sini.
Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya dijumpai dan polis juga masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di parit itu atau dibunuh di tempat berkenaan.
Polis pada mulanya mengesyaki mangsa adalah warga asing berdasarkan rupa dan kulitnya, namun selepas proses pemeriksaan cap jari dijalankan, identiti sebenar mangsa dikenal pasti, malah keluarga mangsa turut membuat pengecaman.
Sementara itu jurucakap polis mengesahkan pihaknya membuat siasatan di rumah mangsa sebelum bertindak menahan bapa mangsa bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Q7PEN64JJEKB
No comments:
Post a Comment