Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Jumaat ini amat ditunggu-tunggu. Ia umpama kanak-kanak menunggu gula-gula. Ia umpama pekerja menunggu bonus dan naik gaji.
Ia juga umpama suri-suri rumah berdoa agar harga barang-barang dapur dapat dikurangkan. Jika harga barang tidak boleh diturunkan, mereka berdoa gaji suami mereka dapat dinaikkan.
Ia juga umpama doa siang malam pesara kerajaan, terutamanya yang gaji di bawah paras kemiskinan dapat dinaikkan sedikit, bagi menampung sisa-sisa hidup mereka. Ia termasuklah pesara tentera yang ramai susah dan daif setelah menabur bakti di bumi pertiwi.
Pendek kata, Belanjawan 2012 adalah belanjawan yang pastinya lain daripada yang lain. Saya tak berani kata ia akan menjadi Belanjawan Pilihan Raya 2012, tapi mungkin juga?
Sering kali, pembentangan belanjawan negara sebelum sesuatu pilihan raya, ganjarannya cukup menarik sekali.
Namun begitu, sama ada ia untuk pilihan raya atau tidak, rakyat sangat-sangat mengharapkan sesuatu yang dapat menggembirakan mereka. Mereka mahu senyum, melompat-lompat, berteriak keseronokan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya kelak.
Saya pasti rating TV atau radio Jumaat ini akan melonjak naik. Semua akan mengikutinya. Kalau boleh dicadangkan ada pihak-pihak yang menaja skrin-skrin besar di tempat-tempat awam, kerana pembentangan kali ini dijangka amat menarik.
Seperti yang saya kata tadi, rakyat kini semakin resah dengan keadaan semasa yang memperlihatkan harga-harga barangan tidak berbaloi dengan pendapatan, gaji dan upah yang mereka terima.
Nilai ringgit mereka semakin mengecil. Inflasi sudah naikkah? Tapi Bank Negara kata inflasi terkawal? Tapi rakyat merungut. Apakah peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Tapi kerajaan melalui kementerian pengguna berkata peniaga-peniaga adalah di bawah kawalan mereka. Semuanya terkawal. Kementerian, sebaliknya menyalahkan barangan asas naik di pasaran dunia yang menyebabkan harga barangan naik dan peniaga terpaksa menaikkannya.
Tapi harga asas gula, tepung dan lain-lain bersubsidi? Oleh itu macam mana boleh naik? Subsidi yang diberikan kerajaan turut dinikmati oleh peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan itu?
Peniaga untung terlalu banyak. Kerajaan sudah tidak termampu menampung subsidi yang terlalu membebankan. Dengan beberapa negeri premier jatuh ke tangan pembangkang, kocek kerajaan Pusat pun sedikit bocor.
Bukan senang mahu memerintah. Mulut-mulut, selera, nafsu rakyat harus dipenuhi, jika tidak, kalah dalam pilihan raya kelak. Saya berharap Kedai Rakyat 1Malaysia, yang menjual barang-barang runcit no-frills pada harga murah dapat disebarkan ke seluruh negara. Untuk dipercepatkan operasinya, biar ia dilaksanakan secara francias, seperti 7 Eleven.
Oleh itu, Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan ini merupakan satu strategi besar kerajaan dalam memenangi (semula) hati rakyat.
Namun, seperti biasa bukan semua yang akan gembira. Ada yang gembira, ada yang kecewa. Tapi apa yang penting biarlah rakyat massa yang menikmati faedahnya. Dalam masa yang sama, jagalah juga sektor-sektor perekonomian lain, supaya kemajuan terus terpacu dan mereka tidak terbeban dengan kenaikan cukai itu dan ini.
Kita tunggu Belanjawan 2012 jam 3 petang Jumaat ini.
Pantun Kapten Light
menjadi raja...
PIHAK pembangkang sudah tentu tidak mahu melihat kerajaan yang dinaungi oleh Barisan Nasional (BN) mengumumkan Belanjawan 2012 yang menggembirakan rakyat. Bagi mereka, jika rakyat gembira, mereka akan rugi.
Tugas pembangkang ialah untuk melihat rakyat susah, kecewa dan marah kepada kerajaan. Jika rakyat marah, maka senanglah kerja mereka untuk mempengaruhi rakyat supaya menolak kerajaan semasa ini.
Itu kerja pembangkanglah. Rakyat harus faham. Politik juga seperti berniaga nasi lemak. Jika gerai nasi lemak sebelah itu sedap dan untung, maka gerai nasi lemak satu lagi yang kurang pelanggan akan cuba sedaya upaya untuk memburuk-burukkannya. Itu termasuklah menggunakan perkhidmatan bomoh yang profesional.
Akhirnya gerai nasi lemak yang sedap itu pun jatuh bankrap. Yang memburuk-burukkan itu pun jatuh bankrap. Kedua-duanya lingkup dan gulung tikar. Puas hati.
Itu ialah sifat orang Melayu yang suka dengki mendengki. Bacalah buku Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang kalau nak tau sikap dengki-mendengki orang Melayu sejak zaman kegemilangan hinggalah zaman itu jatuh berkecai dek dengki mendengki dan tikam belakang.
Parti-parti Melayu pun mempunyai sifat dengki yang sama. Akhirnya Melayu juga yang rugi. Parti milik bukan Melayu, yang akan mendapat labanya.
Kita kini bersepak terajang mengenai hudud. Ia dibawa oleh Pas, yang mereka sendiri pun tidak mampu melaksanakannya di Kelantan dan Kedah. Pas sengaja melontarkan hudud itu kepada kerajaan Pusat supaya melaksanakannya, yang pada hakikatnya amat sukar dibuat.
Orang lain, bukan Islam dan bukan Melayu melihat dengan penuh keseronokan. Yang keliru ialah rakyat jelata. Pas pun bertepuk tangan, kerana melontarkan hudud dan melihat kerajaan Pusat terkapa-kapa.
Pas minta rakyat bencikan Melayu UMNO. Melayu PKR pun masuk sama. DAP sebaliknya kini sudah mengumpul orang-orang Melayu untuk menyokong mereka.
Kononnya, sudah ramai Melayu-Melayu digroom oleh DAP untuk menjadi calon dalam pilihan raya kelak. Malah ada yang dijanjikan jawatan Menteri Besar jika DAP memerintah negeri itu kelak.
Taktik DAP kini bukan main-main lagi. DAP ini cukup cerdik dan hebat dalam permainan politik mereka. DAP bermain senyap-senyap, buat bodoh-bodoh, tapi cukup halus dan licik.
Saya ditunjukkan oleh rakan calling card seorang pesara tentera berpangkat Leftenan Kolonel berbangsa Melayu yang kini dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Bahagian DAP sebuah bandar. Dia kononnya, dikatakan telah dijanjikan akan menjadi Menteri Besar negeri itu, jika menang kelak.
DAP tahu, wakil Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar, maka janji-janji telah ditaburkan kepada orang-orang Melayu itu. Difahamkan ramai lagi Melayu-Melayu telah dijanjikan kerusi untuk bertanding atas tiket DAP. Pas sedar ke?
Apabila Melayu berpecah-belah, maka percayalah Pas juga akhirnya tidak lagi relevan.
Lagi pun Pas itu bukan pun kuat sangat, bising saja yang lebih. Seolah-olah mereka itulah yang hebat dan Islamik. Di Selangor pun, merekalah yang paling kuat bising, tapi berapa saja kerusi yang Pas menang? DAP pun bukannya suka sangat dengan mereka ini.
Akibatnya kita semua tergadai. Malaysia, mereka mahu dijadikan republik. Republik seperti di bawah negara kita ini. Tiada lagi raja-raja Melayu. Ia hanya tertera dalam sejarah, itu pun jika ia dibukukan.
Maka, jika itulah jadinya dan nasi sudah jadi bubur, ikutilah pantun klasik ini:
Pulau Pinang bandarnya baharu,
Kapten Light menjadi raja,
Jangan dikenang zaman dahulu,
Duduk mengalir air mata.
Oleh itu, selagi ada masa, tidak salah jika kita bersatu padu. Pepatah Melayu menyebut “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”
Kini kita sedang berpecah-belah, paling teruk dalam sejarah moden Melayu...
No comments:
Post a Comment