KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan pihaknya tidak menentang pindaan Akta Kerja 1955 jika membawa kebaikan tetapi membangkang elemen yang boleh menghakis perlindungan, antaranya peruntukan sistem kontraktor tenaga kerja – yang dikhuatiri bakal mengembalikan sistem ‘hamba’ sebelum negara merdeka.
MTUC memutuskan untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini susulan kepada tindakan yang sama di kawasan Parlimen 3 Oktober lalu.
Badan induk itu mahu mengadakan piket nasional selepas Kementerian Sumber Manusia meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (PIndaan) 2011 di Dewan Rakyat minggu lalu dan diluluskan dalam lima jam.
“Bangkangan ke atas kontraktor buruh menyasarkan kepada konsep buruh itu sendiri,” kata Setiausaha MTUC Bahagian Selangor N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru kata beliau, “pendek kata, mana-mana bisnes seharusnya menggaji seseorang pekerja secara langsung dan bukan menerusi kontraktor yang merupakan pihak ketiga.”
Jelas beliau, aspek buruh merupakan komponen seimbang yang tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana ekonomi dan “berada dalam pertimbangan teratas di antara pelbagai elemen dalam mana-mana ekonomi.”
Oleh itu tegas beliau, tiada alasan rasional yang membolehkan kontraktor menggaji seseorang pekerja dan kemudian dibekalkan untuk tujuan-tujuan komersial.
Beliau mengulas satu pandangan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Rahim Zainal Seman dipetik oleh akhbar tempatan semalam, mempertahankan peruntukan itu - yang merupakan salah satu pindaan ke atas Akta Kerja.
“Seseorang kemungkinan akan bertanya sebab bisnes begitu berminat untuk menggunakan tenaga kerja yang disediakan oleh pihak ketiga.
“Ia adalah hasil daripada sikap tamak dan sikap tidak mengambil berat kepentingan masyarakat keseluruhannya,” kata Gopal.
Beliau menambah, dengan peruntukan membenarkan sistem kontroktor bagi tenaga kerja, sesebuah organisasi atau syarikat pengeluar perkhidmatan dan barangan tidak perlu mengambil berat tentang soal pengurusan pekerja masing-masing.
“Tidak akan ada hubungan sebenar antara bisnes dan pekerja yang akan membina (kejayaan) sesuatu bisnes,” kata beliau sambil menambah, ia akan menyebabkan “hak-hak pekerja akan dikompromi.”
“Pekerja-pekerja akan berhadapan dengan situasi yang sukar untuk menuntut hak ke atas kejayaan bisnes yang mereka sama-sama bina.
“Kesan paling buruk ialah tahap pendapatan akan ditekan dan kualiti kehidupan pekerja akan dihakis,” katanya lagi.
Gopal seterusnya berkata, “kita perlu mengiktiraf bahawa tiada justifikasi moral atau ekonomi bagi pengecilan tahap pendapatan, dengan mengambil kira peningkatan sebenar hasil pergerakan ekonomi ekonomi di kedua-dua peringkat tempatan dan global.
“Jurang pendapatan yang semakin meningkat dan tekanan ke atas hak-hak pekerja menyebabkan kesan buruk ke atas sistem ekonomi, sosial dan politik di banyak negara dan kita tidak biarkan keadaan yang sama di Malaysia,” katanya lagi.
Gopal juga mengecam Kementerian Sumber Manusia bergantung kepada rujukan pihak-pihak yang menyokong peruntukan itu termasuk Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perladangan (NUPW) tanpa menangani isu semasa dengan mendengar suara yang membangkang perkara tersebut.
“Tindakan mengiktiraf dan memudahkan (proses) pembekalan buruh (menerusi sistem kontraktor) akan menyebabkan hubungan pekerjaan di Malaysia berubah menjadl kelas hamba dan pemilik hamba.
“Masyarakat Malaysia telah bekerja keras untuk menghapuskan sistem pekerjaan bersifat hamba dan kini kembali kepada sistem yang lama,” katanya lagi.
Gopal juga berkata pandangan bahawa peruntukan baru akan membenarkan pekerja menyertai kesatuan sekerja adalah satu tanggapan palsu.
Katanya, kementerian itu memberi gambaran tidak benar sedangkan pada masa yang sama pihaknya menyukarkan proses berkesatuan dan bertindak ke arah melemahkan pengaruh kesatuan-kesatuan sekerja khususnya kesatuan bersifat industri.
Kata beliau, Kementerian Sumber Manusia seharusnya bertindak jujur dalam pendirian jika mahu mempertahankan kepentingan kaum pekerja dan rakyat negara ini.
“Pendirian Ketua Setiausaha bahawa pindaan Akta Kerja akan memanfaatkan pekerja negara ini tidak benar sama sekali. Kata-kata kementerian dan tindakannya tidak sepadan dan (oleh itu) kementerian seharusnya bertindak untuk membetulkan perkara ini,” katanya lagi.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam mempertahankan tindakan mereka meminda akta itu dan memasukkan sistem kontraktor tenaga kerja.
Sampai bila bila pun pekerja rakyat Malaysia jadi kuli batak. Harga barang makin naik, minyak makin naik tp gaji dok takuk lama juga. Apara!!!!!!
ReplyDelete